Followers

Monday, February 1, 2010

Lagi MP PKR londehkan siapa sebenarnya Guan Eng




Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa sikap ala diktator yang ditunjukkan Setiausaha Agung DAP itu menyebabkan hubungan rakan pakatan pembangkang di Pulau Pinang hanya kelihatan baik secara luaran tetapi 'bergolak' di dalam.

''Keadaan ini menyebabkan Pulau Pinang bukan ditadbir oleh pakatan pembangkang tetapi oleh Guan Eng kerana apa juga teguran tidak diendahkan kerana seolah-olah hanya dia saja yang betul. ''Ramai pemimpin dalam pakatan yang tidak gemar caranya (Guan Eng) tetapi tidak berani menegur kerana akan dilabel sebagai ejen UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim baru-baru ini dengan lantang mengkritik kepimpinan Guan Eng yang dilabelnya sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya. Tee Beng berkata, kenyataan Zahrain itu sememangnya dirasai oleh ahli-ahli PKR yang lain tetapi mereka enggan menyuarakannya kerana masih mahu bertolak ansur dan menjaga hubungan baik dengan DAP.


''Tapi ini tidak betul kerana kita perlu memperbetulkan sesuatu yang salah dan bukannya berdiam kerana rakyat pastinya tidak akan percaya pada kita lagi," jelasnya. Lebih dikesali katanya, Guan Eng hanya mahu dilihat sebagai pemimpin yang ada kredibiliti tetapi 'melarikan diri' setiap kali timbul isu yang menuntut penjelasannya sebagai Ketua Menteri.

''Kalau ada pengumuman yang baik, maka gah membuat sidang akhbar tetapi bila timbul isu yang tidak memihak kepada kerajaan negeri, maka dilepaskan kepada Exco atau timbalannya untuk menjawab. ''Sikap begini sebenarnya akan menyebabkan lagi banyak konflik berlaku (dalam pakatan pembangkang) dan ia tidak membantu langsung untuk memenangi hati rakyat," tegasnya.

Menurutnya, Guan Eng sepatutnya bersikap adil dengan memberi kepercayaan kepada rakan-rakan dalam pakatan pembangkang untuk sama-sama memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Bagaimanapun katanya, Guan Eng bersikap pilih kasih dalam menempatkan ahli-ahli parti dalam syarikat milik kerajaan negeri seperti Perbadanan Air Pulau Pinang (PBA) dan Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC).

''Apabila dikritik oleh ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) atau Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), ahli PKR terbabit mahu dipecat. Wajarkah tindakan begini?," soalnya.

Katanya, menjadi lumrah jika wujud kecacatan dalam pentadbiran DAP yang masih baru menerajui kepimpinan kerajaan negeri tetapi itu bukan alasan untuk meminggirkan dan memperkecilkan rakan-rakan pakatan. Ditanya kemungkinan kritikannya terhadap Guan Eng akan menyebabkan beliau berdepan tindakan tegas, Tee Beng berkata;

''Saya membuat teguran kerana saya sayangkan parti. Saya dan rakan-rakan tidak akan kecewa begini jika tidak sayangkan parti. "Saya akan terus bersuara, saya tidak takut kerana memperkatakan yang benar demi kepentingan parti dan rakyat."

No comments:

Post a Comment